Sejarah Dongeng PAS
Apabila sahabat handai meminta pendapat Tun Sheikh mengenai Parti PAS berikutan perkembangan terbaru hasil Muktamar Ke 61, Tun Sheikh bertanya semula kepada mereka, mengapa Tun Sheikh..? Selamba dan spontan mereka menjawab sebab Tun Sheikh tahu serba sedikit sejarah. Tun Sheikh adalah anak jati Johor yang telah lahir dan dibesarkan dalam lingkungan keluarga AMNO, keluarga PAS, keluarga Parti Tanduk Lembu (Sosialis), Keluarga Parti IMP, Parti Negara dan juga Kesatuan Melayu Muda sebelum AMNO wujud. Saudara mara, bapa saudara, datuk dan nenek saudara Tun Sheikh terlibat dalam politik sebelum Tun Sheikh lahir lagi. Malah ada yang pernah menjadi komunis Melayu. Itulah sebabnya Tun Sheikh pernah menulis dan mengatakan bahawa kalau komunis Melayu itu tidak percaya tuhan, maka itu adalah fitnah dan pembohongan sahaja. Tapi kalau kata tidak solat atau sembahyang, itu perkara biasa. Orang Amno totok yang bergegar-gegar mengaku Melayu jati dan Islam pun ada yang tidak sembahayang. Itu perkara biasa sebab tidak mengetahui bahawa diri sendiri jahil dan budaya Melayu memang tidak mahu mengaku jahil. Mengaku bodoh sanggup tapi kalau dipanggil bodoh jadi naik berang .
Dalam keluarga Tun Sheikh, sejarah dan cerita dongeng bertukar tangan dan Tun Sheikh adalah antara kerabat atau waris yang suka diperdengarkan dengan cerita-cerita dogeng saudara mara kerana Tun Sheikh sejak kecil memang suka mendengar cerita. Kalau berjumpa dengan saudara mara yang lebih tua iaitu pangkat abang, kakak, emak saudara, bapa saudara atau datuk saudara, Tun Sheikh suka meminta mereka bercerita. Kalau cerita dongeng rakyat yang diceritakan dan pernah Tun Sheikh mendengarnya, Tun Sheikh akan meminta cerita lain. Tun Sheikh sejak kecil suka melopong mulut dengan penuh minat dan tidak bertanya soalan bodoh yang menjengkelkan tukang cerita. Orang moden kata perangai Tun Sheikh dalam Bahasa Inggeris ialah ‘ good listener’ atau Melayunya seorang pendengar yang baik. Kadang-kadang Tun Sheikh suka membuat provokasi tapi yang positif dengan pujian bagi meransang tukang cerita terus bercerita.
Berbalik kepada cerita PAS, setahu Tun Sheikh yang dikatakan ulamak sebelum wujud PAS adalah ulamak tidur. Ulamak yang merasai cukup apa yang ada dan kuat tawakalnya tetapi kurang usaha ke arah memperbaiki mutu kehidupan seharian. Mereka kuat berzikir dan beribadah di atas tikar sembahyang sehingga sering terlelap di situ. Mereka berjaya melahirkan daei dan pendakwah yang beradab dan berakhlak mulia. Mereka tidak berminat politik dan tidak menceburkan diri dalam politik semasa itu. Mereka sangat dihormati oleh masyarakat. Kebanyakan mereka mengamalkan cara hidup zuhud. Dunia seperti musuh dan terasing. Murid diajar supaya meletakkan urusan dunia di bawah tapak kaki. Murid diajar supaya berpegang teguh kepada ajaran agama, beramal ibadah dan berdakwah. Kehebatan mereka ialah air liur mereka masin. Maksud disini ialah istilah kekeramatan para ulamak ketika itu. Doa mereka makbul. Sumpah mereka mengena. Tegoran mereka berbisa dan digeruni.
Golongan manusia Melayu yang mula-mula membawa idea politik bukanlah AMNO dan bukan ulamak Melayu. Tetapi adalah golongan terpelajar agama dari Timur Tengah dan mereka tidak mengaku diri mereka seabagai ulamak. Mereka dikenali sebagai Kaum Muda. Ulamak tradisional dan pengikutnya sangat dihormati masyarakat, popular dan tersohor sebagai Kaum Tua. Kaum Tua berterusan berbalah dengan Kaum Muda yang membawa pelbagai pembaharuan. Kaum Muda bertungkus lumus berdakwah supaya anggota masyarakat bangun dari tidur. Jangan terus lena seperti tuan-tuan guru mereka yang hanya sibuk dengan hukum-hakam agama. Lebih menyedihkan apabila Kaum Tua asyik berhujah mengenai hukum hakam dengan bersandarkan rujukan guru dan guru kepada guru mereka. Mereka tidak sedar bahawa dunia memerlukan tenaga yang ageresif kerana dunia Islam di Timur Tengah sudah ditawan si kafir dan si munafik. Musuh kafir berusaha mengkafirkan dan meanyesatkan umat Islam secara halus seperti gunting dalam lipatan. Hal ini tidak disedari oleh Kaum Tua.
Dakwah dan ideology yang dikenali sebagai politik moden kerana berjuang menuntut kemerdekaan bernegara ini masih sangat kabur di kalangan Kaum Tua. Malah mereka menjadi batu penghalang pula dengan mengeluarkan fatwa sesat kepada Kaum Muda sehingga masyarakat Melayu bercelaru fikiran. Yang menyahut ideology Kaum Muda ialah pemuda-pemuda berpendidikan Melayu, guru-guru Melayu, guru-guru sekolah agama kerajaan dan pemuda-pemuda Melayu yang tidak tinggi pelajaran. Manakala pemuda-pemuda Melayu berpendidikan Inggeris hanyut dengan pengaruh Inggeris. Mereka hayal dengan penghormatan yang sengaja dicipta penjajah meskipun hanya bekerja sebagai budak pejabat yang tahu sedikit berbahasa Inggeris. Golongan yang berpendidikan tinggi pula hidup terasing daripada kebudayaan Melayu sendiri kerana berbangga dengan status sosial mereka. Mereka tidak sedar mereka diperalat oleh penjajah dalam pentadbiran bagi memudahkan penjajah membawa keluar hasil bumi tanah air mereka sendiri.
Apabila dunia dalam era memerdekakan negara jajahan setelah tamat Perang Dunia II, penjajah Inggeris segera mencari proksi mereka di Tanah Melayu. Ekonomi diberikan kepada bangsa Cina dan pentadbiran kepada bangsa Melayu. Mereka sedar mereka akan diusir oleh pejuang kebangsaan tulin lantas mereka memilih AMNO dan menekan orang Melayu supaya bersatu dalam AMNO sahaja. Tujuan tersirat mereka agar mudah bangsa Melayu ini dicucuk hidung. Bila orang Melayu bersatu melalui AMNO mereka tidak melupakan golongan Kaum Tua yang dianggap begitu keramat dalam masyarakat. Kebanyakan pemuda Melayu tidak berpendidikan tinggi dalam bidang agama mahupun pendidikan Melayu. Sehubungan itu mereka mengangkat golongan ulamak terlibat dalam parti. Kaum ulamak ini merasa diri mereka tersepit kerana tidak berpengetahuan dalam pentadbiran. Kehendak mereka supaya pelajaran agama dan syariat Islam diutamakan tidak dipersetujui oleh kumpulan Melayu berpendidikan Inggeris yang membawa akibat keluarnya golongan ulamak dari AMNO pada tahun 1951 dan menubuhkan PAS pada tahun berikutnya.
Sehubungan itu, dapatlah kita gambaran ringkas apabila PAS mengangkat ulamak untuk mentadbir negara moden tanpa sedar bahawa ada peringatan dan petunjuk dalam agama agar jangan melantik pemimpin yang bukan ahli kerana akan merosakkan komuniti atau sesebuah negara itu sendiri. Oleh itu bagaimana pula cita-cita negara dengan syariat Islam yang diidam-idamkan. Secara ringkas Tun Sheikh menjawab, tunggulah 50 tahun lagi. Itu pun jika PAS mulai dari sekarang, perlulah belajar lagi bagi menyiapkan diri untuk itu. Namun janganlah berputus asa kerana niat itu akan dinilai walau hajat dan usia tidak kesampaian.
Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
Gombak 19.6.2015
0 Response to "Sejarah Dongeng PAS"
Posting Komentar