Apa Istimewa dan Hebatnya Pakatan Rakyat ( PAS, PKR, DAP) dan Barisan Nasional (UMNO, MCA, MIC dll)



Apa Istimewa dan Hebatnya Pakatan Rakyat ( PAS, PKR, DAP) dan Barisan Nasional  (UMNO, MCA, MIC dll)

Ramai orang tertanya-tanya apakah keistimewaan dan kehebatan Pakatan Rakyat (PAS, PKR, DAP) berbanding BN (UMNO, MCA, MIC dll)? Jika mengikut trek rekod pemerintahan atau pentadbiran Negara, rekod lama dan berkemajuan mahupun aktif membangun, BN memang menjadi kebanggaan rakyat. Tetapi apakah tiada hak BN menuntut kelansungan kesetiaan rakyat terhadap mereka memandangka jasa dan pergorbanan mereka memajukan Negara adalah amat besar. Mereka sering mengajukan soalan mengapa pada ketika ini rakyat seolah-olah tidak menyokong BN dan kelihatan seperti tidak mengenang jasa sehingga perbidalan ‘kacang lupakan kulit’ sering digunakan. Pada hal mereka telah bertungkus lumus berusaha memajukan Negara dan menjaga keamanan sehingga dapat bertahan hampir 56 tahun sejak merdeka pada 1957.

Secara rengkas,  Tun Sheikh ingin mengatakan  bahawa  UMNOBN memang bagus sejak dari dulu kerana dipelopori oleh tokoh-tokoh berpendidikan tinggi,bijaksana dan pintar,  ikhlas, amanah dan hebat-hebat kewibawaan dan ketokohan mereka. Mereka berjaya menunjukkan persefahaman dan toleransi yang tinggi diantara sesama kaum dan juga dengan yang berlainan seperti di antara Melayu dengan Cina dan India yang menjadi induk kesepakatan dalam PERIKATAN dan kemudiannya Barisan Nasional. Persefahaman dan kesepakatan mereka sangat bermutu dan memiliki nilai sejagat yang amat tinggi sehingga pemerhati dan penganalisis dari luar juga mengagumi mereka. Ini adalah kerana persefahaman dan kesepakatan mereka yang terdiri dari berbilang kaum berjaya menidakkan keujudan kumpulan pendesak lain sama ada dari golongan politik, social mahupun pekerja atau  ekonomi. Ini termasuk pelbagai kumpulan yang menjadi persaingan dengan mereka.

Dalam menyusuri rantaian perjalanan, perkembangan dan kemajuan dari peringkat awal penubuhan sehinggalah sekarang sebenarnya pelbagai liku dan pengorbanan mahupun pengalaman pahit banyak dilalui oleh BN. Hal ini telah mematangkan mereka dalam sejarah pergerakan dan pembangunan politik mereka. Mereka dianggap terbaik kerana lama bertahan sehingga melebihi separuh abad dan bakal mencipta rekod dunia sebagai sebuah entity politik yang terlama memerintah dan mentadbir sebuah Negara yang merdeka. Kredit dan pujian-pujian ini adalah tertuju secara khusus kepada UMNO dengan sekutunya yang menjadi parti induk dalam BN. UMNO ditubuhkan pada 1946 dan masih bertahan sehingga ke hari ini. Namun pada hakikatnya sangat banyak pengorbanan dan perlepasan hak Melayu telah dikorbankan dan ini tidak disedari oleh rakyat biasa.

UMNO telah tergugat secara besar-besaran  apabila ahli-ahli pendokong Biro Islamnya yang terdiri dari para ulamak dan pencinta agama tidak bersetuju dengan pengorbanan dasar parti yang mengutamakan pendidikan skular sebagai dasar UMNO. Pada 1951 UMNO kehilangan pakar agama yang telah keluar beramai-ramai menubuhkan PAS. PAS sehingga kehari ini masih wujud dan semakin kuat dan berpengaruh. Kelebihan dan keistimewaan PAS ialah memiliki dan mengamalkan dasar dan prinsip  berdasarkan Islam yang memegang teguh kepada panduan dan rujukan kepada sumber Quran dan Hadis. PAS membawa penentangan terhadap kebatilan dalam UMNO dari dahulu hingga sekarang.

UMNO memang mengharapkan PAS lenyap dan luput kerana sering menjadi kekangan dan membatasi aktiviti dan programnya  yang menyalahi syariat Islam. PAS kini menjadi persaingan hebat kepada UMNO dan perjuangannya yang sentiasa  dan terus istikamah sangat dicemburui UMNO. Meskipun PAS berhadapan dengan pelbagai dugaan dan fitnah tetapi mereka tetap menjalankan amanah agama sehingga boleh dikatakan sebagai polis yang mengawal dan pengimbang budaya Melayu. Keistimewaan dan kehebatannya meskipun berasal usul dari UMNO, PAS terus berjaya menjadi entity memperjuangkan syariat Islam supaya tidak diketepikan dalam budaya bangsa Melayu.

UMNO terus dengan sejarah menuntut kemerdekaan 1957 dengan Penubuhan Perikatan, Pembentukan Malaysia 1963, Perpisahan Singapura 1965, Peristiwa Hitam 13 Mei 1969, Darurat dan MAGERAN 1969-1971,Pembentukan Barisan Nasional 1971,  Pengharaman UMNO 1985 dan UMNO Baru,  Pemecatan TPM dan kebangkitan Reformasi 1998, Perlepasan  jawatan PM yang dituduh otokratik 2003, Pembentukan Pakatan Rakyat 2008 dan Tsunami Politik Pembangkang dan ketika ini tekanan kepada politik wang dan perkembangan politik budaya rasuah.

UMNO terus dapat bertahan dan dapat terus membangunkan Negara. Ini merupakan keistimewaan dan kehebatan UMNOBN. Kecemerlangan dan kegemilangan UMNOBN mulai merosot di zaman  Dr.Madey yang mengimarakkan budaya kroni dan nepotisma di sebalik Dasar Pandang Ke Timur dan Penswastaan Negara. Kecenderungan mentadbir secara otokratik menyubur dan budaya rasuah berleluasa di peringkat tertinggi. Ketika ini banyak tokoh pemimpin pelapis yang berbakat telah keluar dan enggan menyertai UMNOBN . Meskipun dalam panorama yang menurun tetapi kelihatan masih gah dan dapat bertahan kerana publisiti projek mega yang dianggap berjaya.

Keistimewaan dan kehebatan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula adalah kerana dibarisi oleh pemimpin muda berbakat dan  ahli –ahli UMNO yang anti rasuah, kezaliman dan penindasan, anti kroni dan nepotisma dan anti otokrasi yang dituduhkan kepada pemimpin tertinggi UMNO iaitu Dr Madey. PKR tertubuh hasil dari perjuangan ‘Reformasi’ yang dicetuskan oleh TPM DSAI yang dipecat dan dipenjara oleh Dr Madey kerana enggan bekerjasama menyelamatkan syarikat mega kroni-kroninya. Keahlian mereka terbuka kepada semua bangsa dan telah mendapat sambutan hangat serta pesat membangun . PKR terus aktif sehingga ke hari ini. Semua rakyat  terutama yang pro UMNOBN yang menyokong dasar keadilan yang diperjuangkan telah menyertainya termasuk dari MIC dan MCA yang tertekan dengan dasar-dasar Dr Madey dan amalan pentadbiran otokrasinya. Jelas, keistimewaan dan kehebatan PKR ialah perjuangan terhadap anti rasuah dan keadilan kepada semua rakyat.

Manakala DAP, dapat merasakan perjuangan parti mereka selama ini sejak berpisah dengaan parti induknya iaitu PAP di Singapura dan bersaing dengan MCA yang dikongkongi  oleh UMNO perlu bersekutu dengan meninggalkan sentiment perkauman yang dilabelkan kepadanya. Mereka tidak menerima parti mereka DAP dianggap rasis kerana keahliannya adalah terbuka kepada semua kaum tidak seperti UMNO, MCA dan MIC. Dasar perjuangan mereka juga terhadap pelbagai isu menuntut keadilan dan persamaan hak selaku warganegara Malaysia tanpa membelakangi  atau menentang ketetapan Perlembagaan Malaysia khususnya yang berhubungan dengan isu Hak-hak Keistimewaan Bumiputera. Mereka sedar kerasisan yang dinafikan oleh mereka sering dipolimik dan mereka  sering difitnah berfahaman atau setidak-tidaknya menyokong komunis.

Apabila PAS, PKR dan DAP bersatu dalam Pakatan Rakyat, objektif perjuangan mereka bertambah terserlah. Kompromi dan toleransi tinggi mereka seolah-olah pengganti kepada BN yang terus merosot kerana budaya rasuah mereka telah membarah dan teguran demi teguran rakyat tidak dipedulikan. AMNOBN kelihatan begitu rakus mengumpul harta dan kekayaan untuk kepentingan pribadi sehingga kelihatan bersaing dengan begitu hebat sesama sendiri.

 Pada waktu yang sama kesempitan hidup rakyat bawahan dan seruan meminta penyelesaian masalah kesempitan hidup tidak dihiraukan oleh AMNOBN. Mereka asyik berlumba sesama sendiri mengambil peluang yang terhampar sehingga terlupa kepada amanah dan sanggup menyeleweng dan pecah amanah. Sikap sombong dan angkuh sangat mengecewakan rakyat.  Permintaan supaya mereka membasmi dan mengatasi masalah budaya rasuah yang tidak dihiraukan bertukar kepada keinsafan dan keinginan rakyat untuk menggantikan mereka dengan pemimpin atau parti lain yang lebih berwibawa, amanah,  istimewa dan hebat daripada mereka. Semoga PR 13 berjaya menginsafkan AMNOBN!!

Oleh Tun Sheikh Engku Bendahara
Parit Jawa Muar 4.5.2013

0 Response to "Apa Istimewa dan Hebatnya Pakatan Rakyat ( PAS, PKR, DAP) dan Barisan Nasional (UMNO, MCA, MIC dll)"

Posting Komentar